Foto : carian google
Bismillah.
Segala puji bagi Allah yang telah memberikan nikmatNya yang tidak terhingga.
Assalamualaikum.
Apabila kita membicarakan tentang anak, pastinya setiap ibu bapa menginginkan anak yang berpotensi untuk mencapai kecemerlangan. Cemerlang dalam apa jua bidang yang anak-anak akan ceburi apabila dewasa kelak, bahkan cemerlang di dunia dan juga di akhirat.
Setiap ibu bapa juga pasti mengimpikan untuk memperoleh anak yang genius dan berperibadi mulia. Anak yang soleh ini merupakan saham bagi kedua orang tuanya dan berupaya menjadi penolong selain dari amalan kebajikan apabila seseorang itu meninggal dunia. Hal ini bukanlah sesuatu tyang mustahil dilakukan. Segalanya mungkin dengan izin Allah selagi ibu bapa terus berusaha tanpa henti, berdoa tanpa jemu.
Begitulah besarnya harapan ibu bapa terhadap anak. Anak adalah amanah dari Allah, anugerah yang berharga bagi setiap pasangan yang bergelar ibu bapa. Namun, kehadiran anak-anak ini lengkap beserta pakej tanggungjawab yang ibu bapa perlu pikul dalam mendidik mereka sebagai khalifah di muka bumi ini.
Apa pun harapan, keinginan dan impian ibu bapa terhadap anak, paling penting dalam pendidikan anak adalah dengan memberi mereka didikan mengikut kaedah Islam. Inilah pendidikan yang mampu menjamin keselamatan dunia dan akhirat. Bagi memastikan pendidikan Islam yang berkesan terhadap anak-anak, maka setiap ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan yang baik dan mengamalkan cara hidup Islam dalam keluarga.
Mendidik anak bukanlah suatu hal yang boleh dilakukan sambil lewa. Bahkan, untuk membentuk anak-anak sebagai muslim sejati, bimbingan yang diberi perlu seimbang dari aspek rohani dan jasmani. Curahkanlah segala ilmu pengetahuan dan penghayatan Islam kepada anak supaya mereka dapat membezakan antara baik dan buruk suatu perkara. Ini akan dapat membantu menghindarkan mereka dari melakukan perkara yang boleh merosak akidah dan iman.
Ibu bapa juga bertanggungjawab untuk membekalkan anak-anak dengan ilmu pengetahuan yang tinggi. Bagaimanapun, ibu bapa tidak seharusnya terlalu fokus terhadap pencapaian keputusan akademik yang cemerlang semata-mata. Anak-anak perlu diingatkan bahawa menuntut ilmu merupakan satu ibadah yang menjadi kewajipan bagi setiap muslim. Menuntut ilmu bukanlah bertujuan untuk mendapatkan kesenangan di dunia. Menuntut ilmu juga bukan untuk mengejar ijazah bagi memudahkan pencarian pekerjaan kelak. Tetapi menuntut ilmu itu penting dalam mencari keredhaan Allah.
Ternyata, kaedah yang terbaik dalam menjadikan anak-anak cemerlang dunia dan akhirat adalah dengan kembali semula kepada cara hidup Islam. Anak-anak yang dekat dengan al Quran dan menjadikan al Quran sebagai bacaan rutin serta sentiasa memelihara solatnya lazimnya mempunyai hati yang lebih lembut. Mereka lebih mudah dibentuk dan lebih mudah mendengar kata. Anak-anak sebegini selalunya dikurniai Allah dengan kehebatan otak tengah yang lebih besar. Ini menjadikan mereka berpotensi menyerap ilmu dengan lebih mudah.
Antara doa yang boleh diamalkan oleh ibu bapa agar anak-anak sentiasa memelihara solat adalah doa nabi Ibrahim seperti berikut:
Selain itu juga, lazimkan sebelum tidur :
- Talqinkan kalimah syahadah ke telinga anak
- Membacakan zikir Ya Lathif sebanyak 33x
- Membacakan ayat 19 Surah As Syura
lalu ditiupkan perlahan-lahan dari ubun-ubun anak hingga ke kaki dengan satu hembusan lembut. Iringi bacaan dengan doa supaya anak ini dikurniakan hati yang lembut dan minda yang lebih fokus kepada pembelajaran.
InshaAllah , sesungguhnya Allah maha mendengar doa hambaNya. Sentiasalah berdoa dan teruskan berusaha. Janganlah sesekali ibu bapa berasa putus asa dalam mendidik anak-anak kerana ini akan membuatkan anak-anak berputus asa terhadap kita sebagai ibu bapanya.
Segala bentuk pelaburan yang ibu bapa lakukan demi memastikan anak-anak terdidik dengan cemerlang akan menjadikan anak-anak sebagai aset terbesar yang paling berharga dalam kehidupan kedua ibu bapanya. Semoga Allah mengurniakan rahmat kepada ibu bapa sekelian.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment