Thursday, May 22, 2014

Nilai sebuah ilmu

teks : magdalina selamat
foto : carian google
 
Bismillah.

Assalamualaikum.

Ilmu adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Dengan adanya  ilmu, ia akan dapat meningkatkan darjat seseorang. Seseorang yang mengajarkan ilmu yang bermanfaat kepada orang lain, akan berterusan mendapat pahala selama mana ilmu yang bermanfaat itu turut diamalkan oleh orang lain.
Ilmu itu perlu dicari. Ilmu tidak datang bergolek dan datang nya tidak secara percuma. Menuntut ilmu mempunyai harga yang perlu dibayar. Pada hari ini, ibu bapa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan dalam proses untuk mendapatkan ilmu yang terbaik bagi anak-anak.

 
 
Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, ada kala terlepas juga keluhan sesetengah ibu bapa akan perbelanjaan pendidikan yang semakin tinggi pada hari ini. Tidak kiralah samada perbelanjaan  untuk pendidikan  di sekolah, kelas tuisyen, menghadiri kursus, mengikuti seminar, menyertai bengkel apatah lagi jika mempunyai  anak-anak yang menuntut di university.

Dalam menghadapi kemelut ini, ibu bapa perlu bertindak bijak membuat pilihan. Di antara kehendak dan keperluan.  Di antara nafsu dan kepentingan.  Yang mana satu perlu diutamakan. Mari kita cermin diri.

Kehidupan kita pada hari ini dipenuhi dengan pelbagai teknologi canggih.  Gadget pintar bersilih ganti memasuki  pasaran.  Kita juga tidak kurang tidak mahu ketinggalan  memiliki gadget canggih ini.  Adakah memiliki gadget canggih ini satu keperluan atau kehendak?  Andainya berlaku pembaziran, masihkah lagi kita menganggap memiliki gadget canggih ini satu keperluan?

Tanpa kita sedari, kita jarang sekali mengeluh untuk mendapatkan sesebuah barangan yang kita ingini yang mengikut aliran masakini.  Hatta untuk memiliki barangan yang  berjenama mahal maupun sekadar mendapatkan pakej tontonan hiburan yang jauh lebih tinggi perbelanjaannya.

Cuba kita bayangkan, barangan berjenama yang kita miliki  dan hiburan mahal yang kita tonton itu hanyalah bersifat sementara.  Sebaliknya, ilmu  walaupun harganya mahal adalah suatu bentuk pelaburan jangka panjang yang sangat berbaloi.  Mengeluarkan sejumlah wang perbelanjaan dalam proses mendapatkan ilmu tidak boleh dianggap sesuatu yang merugikan.
Cubalah kita fikirkan akan manfaat serta kelebihan  ilmu pengetahuan yang bakal diperoleh melalui bengkel motivasi, latihan maupun seminar. Ia merupakan  suatu asset  yang sangat berharga bagi kemajuan masa hadapan.

Marilah kita sama-sama fikirkan untuk sebuah perjalananan anak-anak yang masih jauh ke hadapan. 
 
Wassalam.


No comments:

Post a Comment